15 Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Oleh Pengusaha Fertigasi

Pada kali ini saya akan tunjukkan kesilapan – kesilapan yang biasa dilakukan oleh pengusaha fertigasi. Kesilapan – kesilapan ini sering saya perhatikan di ladang – ladang fertigasi, baik pengusaha besar mahu pun pengusaha kecil, mereka – mereka yang sudah lama terlibat dalam bidang ini juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang akan kita lihat bersama nanti.


1. Guni media dilonggok tanpa lindungan


Guni – guni media seperti coco peat atau sekam padi bakar diletakkan secara bertimbun di kawasan ladang secara terdedah. Lama – lama guni ini akan mereput dek hujan dan panas seterusnya, media kita akan bertaburan di atas tanah.

Kalau boleh guni – guni media disusun secara teratur dan diletakkan di bawah redupan atau bangsal bagi menggelakkan ianya mereput dengan pantas. Kalau tiada bangsal seelok-eloknya ditutup dengan kanvas guni media kita.


2. Media (coco peat) dibiarkan terdedah


Media seperti coco peat yang tidak habis dibegging hendaklah ditutup supaya tidak ditiup angin dan menjadi tandas haiwan seperti kucing dan anjing.


3. Penggunaan polibeg berwarna putih


Penggunaan polibeg berwarna putih yang mudah rapuh dan koyak. Polibeg berwarna putih ini tidak tahan lama dan kebiasaannya tidak sampai satu musim sudah koyak. Pengusaha yang menggunakan polibeg berwarna putih terpaksa membeli polibeg baru apabila mahu memulakan penanaman musim kedua. Ini akan menyebabkan pertambahan kos pada musim kedua. Kos tambahan ini dapat dielakkan jika pengusaha menggunakan polibeg berwarna hitam.


Polibeg berwarna putih koyak sebelum musim tanaman habis. Ini menyebabkan pengusaha menampal polibeg mereka bagi mengelakkan media bertaburan dan air daripada keluar daripada polibeg. Kaedah ini dikenali sebagai fertigasi ‘tampal koyok’.


Fertigasi ‘tampal koyok’ ini akan menyebabkan pengusaha menampal banyak polibeg sekaligus mencipta ‘fertigasi pening’ serta memeningkan kepala pengusaha.


4. Polibeg berlubang di bawah


Polibeg berlubang di bawah menyebabkan larutan baja yang diberikan terus keluar daripada polibeg. Ini sekali lari daripada tujuan asal fertigasi. Pembaziran yang berlaku ini amat merugikan pengusaha. Di dalam sistem fertigasi biasanya lubang dibuat di tepi polibeg, atau lebih tepat dua inci daripada dasar polibeg.


5. Struktur pelindung hujan yang tidak diselenggara dengan baik


Bumbung plastik dan jaring kalis serangga yang dibiarkan berlumut mengurangkan kemasukkan cahaya ke dalam struktur. Ini sekaligus memberi kesan kepada pertumbuhan tanaman di dalam struktur. Bumbung plastik dan jaring kalis serangga harus diselenggara dengan mencuci lumut sekurang – kurangnya enam bulan sekali. Jaring kalis serangga yang berlubang harus ditampal bagi menggekalkan fungsi.


6. Penggunaan Teknologi Lama


Penggunaan teknologi lama iaitu penggunaan mikro tiub 4 mm yang perlu dipasang dengan penitis (dripper) yang mempunyai pressure regulator. Penitis yang mempunyai pressure regulator ini sering tersumbat pada bahagian filternya. Ini menyebabkan air tidak sampai ke pokok. Masalahnya, pengusaha terpaksa memberus filter tersebut dengan berus gigi bagi menggelakkannya tersumbat. Kalu 10 pokok tidak apa, kalu 3000 pokok macam mana nak gosok. Ini dipanggil fertigasi gosok gigi.


7. Kaedah penyemaian yang salah


Masih ramai pengusaha fertigasi yang tidak tahu cara penyemaian yang betul. Justeru itu, terdapat pelbagai cara kaedah penyemaian dilakukan. Anak benih yang baik menjamin kejayaan projek fertigasi.


8. Susunan pokok yang padat


Susunan polibag yang tidak betul akan mendatangkan kesukaran bagi kita menguruskan tanaman kita termasuklah kawalan serangga perosak dan sewaktu memungut hasil.


9. Tidak cukup ilmu fertigasi


Pemasangan sistem pengairan fertigasi yang salah akibat tidak cukup ilmu fertigasi. Oleh kerana, bagi mereka yang baru hendaklah bermula dalam bidang Fertigasi ini perlulah / wajib menghadiri kursus fertigasi.


10. Sistem saliran air ladang yang tidak berfungsi


Tapak ladang fertigasi hendaklah rata dan mempunyai sistem saliran air yang baik bagi mengelakkan banjir dan merugikan kita. Kebanyakkan pengusaha fertigasi lupa dan alpa tentang kepentingan mempunyai sistem saliran air yang baik di ladang fertigasi.


11. Pembinaan SPH yang tidak sempurna


Sering kali saya lihat, pengusaha fertigasi mengambil ringan tentang pembinaan Struktur Pelindung Hujan (SPH) ini. Reka bentuk serta penggunaan bahan yang tidak betul akan menyebabkan SPH tidak tahan lama. Bahkan ada juga SPH yang baru dibinakan, belum sempat digunakan sudah pun roboh. Oleh itu, pastikan rekabentuk serta speksifikasi SPH difahami dulu oleh pengusaha. Pengusaha juga hendakalah melantik kontraktor yang berkeupayaan serta mempunyai pengalaman dalam membina SPH ini.


12. Bahan binaan SPH yang tidak betul.


Kebanyakkan pengusaha fertigasi selalu cuba mengurangkan kos projek dengan cara menggunakan bahan binaan SPH yang tidak betul. Pembinaan SPH dengan menggunakan kayu di kawasan terbuka atau laluan angin amat bahaya. Ini kerana SPH yang dibina mudah runtuh akibat ditiup angin.


13. Penggunaan batu bata.

Penggunaan batu bata ini sering menimbulksn tanda soalan di dalam minda saya. Apakah faedah dan kesan menggunakan batu bata pada tanaman fertigasi ini??? Ini hanya meningkatkan kos permulaan projek fertigasi. Apabila kos permulaan projek tinggi kerana perlu membeli baja maka kesannya pengusaha terpaksa menggurangkan kos operasi seperti baja dan lain-lain. Ramai pengusaha melakukan kesilapan ini. Kita mesti ingat jika kita mahu projek fertigasi kita bertahan lama serta menjana keuntungan, kos permulaan perlulah rendah supaya tempoh balik modal menjadi pendek!!!!


14. Pacang pokok yang tidak sesuai.


Memberikan sokongan pada tanaman fertigasi adalah satu perkara mandotari atau wajib. Jika tidak lakukkan adalah haram. Mana tak haram sebab jika pengusaha gagal melakukkannya akan mendatangkan kerugian dan menyeksa pokok. Bagi tanaman cili fertigasi sokongan yang sesuai adalah pacang berbentuk ‘X’ atau ‘H’. Pacang ini perlu dipasang segera selepas selesai transplanting atau memindahkan anak pokok ke polibeg. Jika anda lihat gambar di tengah, pancang – pancangnya dah macam tanah perkuburan kristian. Hehehe.


15. Penggunaan hormon pemikat lalat buah.


Ini adalah kesilapan yang paling mahal yang sering dilakukan oleh pengusaha fertigasi. Penggunaan hormon pemikat lalat buah pada ladang fertigasi cili, rockmelon atau tomato. Penggunaan hormon lalat buah ini akan memanggil lalat buah untuk mengawan. Horman ini dibancuh bersama – sama air dan lalat buah akan masuk ke dalam air tersebut lalu mati. Masalah penggunaan hormon ini, lalat buah akan menyuntik telurnya pada buah tananam kita terlebih dahulu sebelum bunuh diri. Pengusaha fertigasi yg menggunakan teknik ini sememangnya membakar duit mereka sendiri. Ini kerana buah – buah cili, rockmelon dan tomato yg telah disuntik telut lalat buah akan busuk apabila masak. Ini kerana larva atau ulat lalat buah telah memakan bahagian dalam buah.