(Dipetik dari majalah Teknotani April 1993)
Penggunaan pelindung hujan dalam pengeluaran sayur-sayuran mempunyai
kebaikannya tersendiri seperti:-
- Mengalakkan kerosakan fizikal pada bahagian daun akibat hempapan air hujan.
- Penyakit-penyakit yang mudah merebak di musim hujan seperti Hawar Phytopthora, reput air dapat dielakkan.
- Meningkatkan keberkesanan penggunaan baja.
- Mengurangkan 20-30% keterikan matahari ke tahap yang sesuai untuk fotosintesis tanaman(30-80 Klux).
- Dapat mengawal perosak Plutella sp. dan Helulla tanpa atau menggunakan racun perosakyang minimum.
- Pekerja boleh bekerja di waktu hujan.
Selain dari kebaikan di atas, penggunaan pelindung hujan dapat meningkatkan
hasil pengeluaran sayur-sayuran. Hasil boleh meningkat sebanyak 2-4 kali
ganda lebih tinggi dari penanaman di tempat terbuka. Penggunaan pelindung
hujan dapat mengawal perosak Plutella dan Hellula pada tanaman kobis, kobis
bunga, kobis cina dan kailan dengan berkesan tanpa mengguna atau menggunakan
racun perosak yang rendah. Ini boleh menghasilkan sayur-sayuran yang
bebas dari sisabaki racun perosak. Penggunaan sistem ini turut
merendahkan peratus kerosakan ke atas sayur-sayuran akibat serangan serangga
dan penyakit sebanyak 30-49 peratus.
Pada asanya, pelindung hujan terdiri daripada bumbung plastik dan bertiang
kayu atau besi. Plastik lutsinar digunakan sebagai atap kerana harganya
yang murah dan sesuai untuk berbagai bentuk binaan. Bentuk-bentuk binaan
pelindung hujan dinamakan berasaskan struktur bumbungnya. Dua bentuk yang
mudah dibina ialah bentuk mata gergaji dan bentuk gable berbanding bentuk
terowong yang agak mahal kosnya.
Bagi sebuah pelindung hujan, kos pembinaannya dianggarkan RM30-40
ribu (tahun 1993) bagi 0.4 hektar kawasan. Kos kayu dan plastik
merangkumi 80% daripada kos keseluruhan. Selain dari itu, penggunaan
pelindung hujan memerlukan sistem pengairan dengan anggaran kos sebanyak
RM6,000 (1993) bagi 0.4 hektar kawasan.