Sistem Hidroponik Takung Bagi Sayur-Sayur, Buah Dan Bunga


Sistem Hidroponik Takung Bagi Sayur-Sayur
Buah Dan Bunga

Dipetik dari majalah Teknotani Ogos 1999 dan lain-lain sumber pertanian,

Penanaman secara hidroponik ialah satu kaedah menanam tanpa menggunakan tanah.  Selain daripada sayur jenis berdaun, sayur jenis buah dan pokok bunga boleh ditanam secara hidroponik.  Kaedah ini memerlukan larutan zat makanan di dalam takungan yang berisi air.  Kesuburan pokok dan hasil yang berkualiti bergantung kepada baja yang digunakan, benih yang elok dan juga cahaya matahari yang cukup.


Amalan Kultura:

Biji benih atau keratan tampang, disemai dengan menggunakan sepotong media sebagai sokongan awal untuk percambahan dan diubah ke bekas-bekas penanaman.  Anak-anak benih dijaga dengan memberi larutan baja untuk pembesaran sehingga boleh dituai.

  • Pilih anak benih yang baik untuk dibesarkan.  Buang anak benih yang cacat, terencat, rosak dan tidak sihat.  Untuk sayuran buah tinggalkan hanya sebatang anak benih untuk membesar.  Untuk sayuran berdaun, bilangan anak benih bergantung kepada jenis sayuran.
     
  • Pemilihan boleh dilakukan ketika anak benih berumur antara 7-10 hari dari tarikh menyemai.  Cabut anak benih yang hendak dibuang dengan cermat supaya tidak merosakkan yang lain.
     
  • Lakukan penjarangan jika tanaman terlalu rapat agar pertumbuhan tidak akan menjadi kecil dan tidak sihat.  Untuk sayuran daun yang tumbuh menegak, bolehlah dibenarkan 2 batang pokok untuk satu lubang tanaman.
     
  • Apabila pokok mula membesar, sokongan perlu diberi supaya ia boleh tumbuh tegak.  Ketika pokok setinggi 20-30 cm, gantung pokok menggunakan tali rafia dengan mengikat dengan longgar di pangkal batang dan melilit batang pokok.  Jagan ikat tali pada batang dengan ketat.  Hujung tali rafia yang lagi satu diikatkan pada palang penyokong tanaman yang tingginya 1.5 - 2 meter dari paras sungkupan.
 
 

Pada masa ini beberapa sistem hidroponik sedang digunakan untuk pengeluaran sayur-sayuran.  Sistem-sistem ini ialah sistem hidroponik takung, sistem NFT dan sistem aggregat rockwool.

SISTEM HIDROPONIK TAKUNG
Kaedah penyediaan dan peralatan yang diperlukan:
  1. Takung Hidroponik

    Takung hidroponik hendaklah tidak telus cahaya, tidak serap panas dan tidak berkarat.  Disyorkan supaya digunakan takung plastik berukuran 15 cm tinggi, 52 cm panjang dan 26 cm lebar yang dilengkapkan dengan penutup polistirena yang berlubang serta bakul-bakul semaian.  
sistem hidroponik takung

Penutup takung diperlukan untuk melindungi larutan baja dari terkena sinaran matahari serta kemasukan air hujan yang akan mencairkan larutan baja.  Bahan yang sesuai sebagai penutup adalah kertas tebal, plastik atau polistirena.  Penutup hendaklah mempunyai lubang-lubang yang dibuat khas untuk meletakkan bakul semaian.  Jarak lubang adalah bergantung kepada jenis tanaman.

  1. Bakul Semaian
    Plastik kecil yang berlubang diletak pada lubang-lubang di penutup takung.  Benang atau perca-perca kain dari jenis yang boleh menyerap air diletakkan di dalam bakul semaian sebagai media percambahan biji benih.  Juntaikan perca kain atau benang tersebut melalui lubang-lubang dinding bakul sumbu supaya dapat meresap larutan air baja.
     
  2. Penyediaan Larutan Baja

    Gunakan baja hidroponik komersil dengan kadar yang disyorkan pada label.  Baja ini boleh dibeli dari kedai-kedai pembekal baja swasta tertentu.  Air paip atau air tangki yang digunakan untuk penyediaan larutan baja hendaklah yang telah lama tersimpan kerana ianya bebas dari klorin.  Air hujan juga boleh digunakan.
     
  3. Menyemai

    Semak sebanyak 2-4 biji benih ke dalam satu bakul semaian.  Tinggalkan kepada 1-2 pokok sebakul seminggu selepas benih bercambah.  Elakkan benih dari terendam dalam larutan.
     
  4. Penjagaan

    Letakkan alat hidroponik di bahagian patio atau balkoni rumah yang terlindung dari hujan dan mendapat sinaran matahari sekurang-kurangnya separuh hari.  Pastikan takung terlindung dari air hujan.  Kawalan serangga / penyakit boleh dibuat dengan membuang bahagian yang diserang atau menangkap perosak dengan tangan.  Jika perlu semburkan dengan racun perosak tanaman.  Elakkan semburan racun kimia sekurang-kurangnya satu minggu sebelum memungut hasil.
     
  5. Perhatian

    Pastikan ada ruang udara pada pangkal pokok dan permukaan air untuk pernafasan akar.  Gunakan media dan larutan yang baru untuk setiap penanaman.  Basuh dengan sempurna takung, penutup dan bakul selepas setiap penanaman. 

Kaedah ini adalah salah satu cara tanaman yang paling senang, murah dan juga mudah dilaksanakan.  Semua golongan masyarakat yang berminat boleh mencuba dan tidak memerlukan kawasan yang luas.   Ia boleh dibuat sebagai hobi atau jika dibuat besar-besaran, sistem ini boleh memberi hasil yang lumayan kepada petani-petani dan juga suri rumah.

Sayur-sayuran yang ditanam dengan cara ini segar, bersih dan rasanya manis.  Ia boleh juga dimakan segar kerana kurang penggunaan racun.  Selain dari sayur-sayuran kaedah ini juga boleh digunakan untuk menanam bunga-bungaan.  Bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang dihasilkan didapati berkualiti dan bermutu tinggi.
 

SISTEM HIDROPONIK BERAGGREGAT:
 
Menggunakan cecair nutrien atas tanaman yang ditanam di media tanaman seperti rockwool, sabut kelapa dan pasir serta menggunakan kaedah pengairan titis untuk tujuan pengairan dan menyampaikan nutrien kepada akar tanaman.
 
Kaedah kultur 'rockwool/cocopeat' adalah lebih efesien.  Kaedah ini banyak digunakan oleh penanam-penanam hyroponik secara perladangan komersil.
 
Walaupun kultur rockwool/cocopeat ini boleh dijadikan media yang baik kepada semua jenis tanaman, khasnya tanaman sayuran jenis berbuah seperti tomato, cili, melon dan sebagainya, tetapi kultur rockwool/cocopeat banyak tertumpu kepada penanaman berbagai jenis bunga-bungaan seperti rose, kekwa, canation dan lain-lain.  Pengaliran larutan nutrien dijalankan secara titis menggunakan bantuan pam.
 
Nota:  Penemuan penyelidik masakini rockwool boleh digantikan dengan cocopeat (habuk kelapa) dengan kaedah amalan kultur yang sama.
 
SISTEM HIDROPONIK TANPA BERAGGREGAT:
 
Hanya menggunakan cecair baja tanpa media untuk menyokong tanaman.  Sistem ini memerlukan persekitaran terkawal dan ia biasanya dibuat didalam struktur pelindungan hujan.
Sistem hidroponik beraggregat


 
 
 
 
Sistem beraggregat 'rockwool culture'

 

 

SISTEM NFT / TNC:
 
Teknik Nutrien Cetek

Dalam sistem NFT atau Nutrien Film Technique, TNC atau 'Teknik Nutrien Cetek', larutan cecair baja dialirkan dalam palong yang mengandungi akar tanaman yang ditanam.  Pam air digunakan untuk menggerakkan air baja ini ke palong dan dengan secara graviti, air tersebut dialirkan di dalam palong .  Air baja ini dikumpulkan dalam satu tangki dan dipamkan semula ke dalam palong-palong tanaman.  Pergerakan air perlu untuk mengudaraan di bahagian akar tanaman.  Dalam sistem air baja bergerak ini, sayur daun dan juga jenis sayur buah seperto tomato dan timun adalah sesuai.  Biasanya jenis tanaman bernilai tinggi seperti timun jepun, tomato, cherry sesuai untuk ditanam menggunakan sistem ini.
 

Teknik nutrien cetek (TNC)
Teknik Nutrien Dalam (TND/DFT)
Konsep pengaliran larutan nutrien adalah hampir sama dengan kaedah nutrien cetek.  Sedikit perbezaan, iaitu di dalam kultur nutrien dalam, bekas atau palong penanaman berukuran biasa lebih lebar dan tinggi jika dibandingkan dengan palong yang boleh digunakan dalam teknik nutrien cetek.  Palong boleh disediakan dengan ukuran lebar 60-80 cm dan tinggi lingkungan 20-25 cm dan panjang palong masih boleh mengikut kesesuaian tempat.

Teknik nutrien dalam (TND/DFT)
Untuk kejayaan tanaman yang lebih baik, sistem ini lebih elok jika larutan nutrien dalam tangki dibantu dengan bekalan udara bagi bekalan oksigen yang diperlukan oleh akar-akar tanaman.  Ini bermakna sistem ini perlu dipasang dengan Pam Pemampat Udara atau sebuah injap Pemampat Udara.

Membetulkan Kepekatan Larutan Untuk Sayur-Sayuran:

Jika pokok menjadi kuning keseluruhan, tambahkan lagi larutan pekat sebanyak 40 ml. ke dalam setiap 10 liter larutan tipis yang sedia ada dalam takung.  Tunggu 4-5 hari.  Jika pucuk termuda menjadi hijau tambahan tidak perlu diulangi.  Ulangan maksima ialah 2 kali.  Jika masih tidak berjaya buang semula larutan dalam takung dan ganti dengan lain.

Jika terlebih larutan pekat, hujung dan tepi daun muda menjadi hangus.  Untuk membetulkan ketipisannya, pindah/buangkan 1/8 hingga 1/4 larutan sedia ada dan diganti dengan air sahaja ke paras sebelum dipindah/dibuang.

Membetulkan Kepekatan Larutan Untuk Sayur Buah dan Bunga:

Pokok sayur buah dan bunga dewasa menghisap air lebih banyak dari baja, oleh itu larutan menjadi pekat.  Pokok akan menunjukkan tanda-tanda kemarau seperti kuning bertompok, daun melengkung, hujung daun dan pucuk hangus dan akhir sekali keseluruhan pokok layu.  Oleh itu penanam perlu mempunyai alat pengukur kemasaman (p.H) dan kepekatan (E.c)

Tentukan pH 5.5 - 7.5.  Jika p.H tinggi melebihi 7.5 campurkan asid sulfurik untuk merendahkan.  Jika kurang dari 5.5 ianya dinaikkan dengan mencampurkan sodium Hydroxide.  Pastikan kepekatan (conductivity) antara 2,000 hingga 4,000 Umnos.  Kepekatan optima ialah 3,000 Umhos.

Larutan Baja (nutrien)

Ini adalah bahagian terpenting dalam kaedah penanaman hydroponik.  Larutan baja ini disediakan dengan menggunakan garam-garam inorganik yang menepati kandungan sebelas jenis pembajaan yang diperlukan oleh tanaman seperti:-

  1. nitrogen
  2. kalium
  3. pasfurus
  4. kalsium
  5. sulfur
  6. ferum
  7. mangganan
  8. boron
  9. zinkam
  10. kumpram
  11. molybdenum

Biasanya dalam pasaran tempatan, larutan stok ini dijual dalam bentuk "Larutan Kepekatan Tinggi" yang dikenali sebagai Larutan A - kalsium nitrat & zat besi (iron chelate) dan Larutan B - (sembilan unsur yang lain).

Perhatian:

  • Pastikan larutan pekat digoncang sebelum digunakan.
  • Bila menambah larutan tipis pada pokok besar (dewasa) pastikan pangkal bakul tidak terendam3-4 jam.  Ruang udara perlu ada antara paras larutan tipis dengan pangkal bakul.
  • Pastikan air hujan jangan masuk ke dalam takung.
  • Tempoh pungut hasil bagi sayuran adalah kurang atau sama saja mengikut tempoh tanaman atas batas.

Kebaikan Sistem Hidroponik:

 

Sistem penanaman secara hidroponik mempunyai beberapa kebaikan berbanding dengan sistem konvensional yang menggunakan tanah, iaitu:-

  1. Pengeluaran sayuran dapat diusahakan di kawasan yang tidak subur, kurang sumber air dan tidak mempunyai saliran yang baik dan juga di kawasan tanah yang bermasaalah.
     
  2. Sistem hidroponik tidak memerlukan giliran tanaman, malah penanaman dapat dilakukan sepanjang tahun.  Tanaman yang sama boleh ditanam di tempat yang sama.  Sebaliknya, penanaman secara konvensional menggunakan tanah memerlukan giliran tanaman yang bertujuan untuk mengawal penyakit dan menjaga kesuburan tanah.
     
  3. Pengeluaran hasil melalui sistem hidroponik adalah seragam dan dapat dikeluarkan sepanjang masa.  Perkara ini penting sekiranya petani mengusahakan penanaman secara komersial dan mempunyai ikatan yang tertentu yang memerlukan jumlah yang tetap sepanjang kontrak berjalan.
     
  4. Sanitasi hasil adalah lebih baik melalui sistem hidroponik.
     
  5. Penggunaan air dan baja yang lebih cekap dapat dicapai melalui sistem hidroponik.  Baja tidak mengalami larut lesap dan penggunaan air pula dapat dikawal dengan baik mengikut keperluan tanaman.  Pengambilan nutrien lebih sempurna kerana nutrien tidak menghadapi rintangan untuk diserap oleh akar tanaman.
     
  6. Pulangan hasil seunit kawasan bagi seunit masa adalah tinggi.  Tanaman didapati matang lebih awal.  Kaedah penanaman secara densiti padat dilakukan tanpa sebarang gangguan kerana tiada persaingan terhadap air dan nutrien.
     
  7. Pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan dengan penggunaan bahan kimia yang minimum dan terkawal.
     
  8. Oleh sebab penanaman dijalankan dengan menggunakan sistem yang terkawal, pengawalan penyakit dan perosak dapat dilakukan dengan lebih cekap.
     
  9. Penggunakan tenaga buruh adalah minimum.  Dua orang boleh menjaga sebanyak 2000 pokok semusim.
     
  10. Masaalah kimia (kemasaman dan salinity) dan fizikal jenis tanah dapat diatasi.
     
  11. Tanaman tidak terdedah kepada masalah banjir, hakisan dan kemarau.
     
  12. Mudah pengendalian - tidak perlu berpanas, tergigit lipan, menyiram, merumput dan membajak.  Guna sistem 3T (tanam, tunggu, tuai).
     
  13. Jimat masa - tahap kematangan tanaman yang lebih cepat daripada penanaman di atas tanah.
     
  14. Keselamatan - sisa baki racun kurang kerana sayur atas tanah memerlukan penggunaan racun banyak dan ada racun yang tahan 3 bulan.
     
  15. Segar - melebihi 3 hari jika dicabut dengan akar dan jika tidak ada peti sejuk boleh bubuh dalam baldi dan tidak layu.

Tempoh Pungut Hasil Sayur-sayuran:

 

1
2
3
4
5
6
7
Salad
Sawi Jepun
Bayam Hijau
Kailan
Kangkong
Sawi Hijau
Kobis Bunga
28 - 30 hari
25 - 30 hari
25 -30 hari
35 - 45 hari
25 - 28 hari
35 - 40 hari
90 hari ke atas

 

Perbandingan Diantara Tanah dan Hydroponik:

 

Fisiologi tumbuhan yang ditanam secara hydroponik tidak berbeza dengan fisiologi tumbuhan yang ditanam di dalam tanah.  Di dalam tanah, kedua-dua komponen organik dan bukan organik mestilah direputkan dahulu kepada unsur bukan organik seperti kalsium, magnesium, nitrogen, kalium, fosforus, besi (ferum) dan lain-lain sebelum ia dapat diserap oleh tumbuhan.  Unsur ini melekat kepada partikel tanah dan digantikan di dalam larutan tanah apabila ia telah diserap oleh tumbuhan.  Dalam sistem hydroponik, akar tumbuhan, dilembabkan oleh larutan yang mengandungi unsur pemakanan.  Oleh itu proses pengambilan unsur-unsur mineral oleh tumbuhan adalah sama seperti diterangkan dalam rajah di bawah.

 

Asal Usul Unsur Perlu Didalam Tanah dan Hidroponik