Membongkar Rahsia Ibadat Solat Secara Saintifik
Oleh : Khairunnisa Sulaiman
Kajian yang dijalankan
mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia manakala
menunaikan solat dengan sempurna dan tertib amat baik dalam mengekalkan tahap
kestabilan mental serta emosi seseorang. Kewajipan bersolat lima kali sehari
semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit
semasa peristiwa Israk dan Mikraj pada malam 27 Rejab.
Ibadah solat begitu
istimewa sekali sehingga Rasulullah SAW diangkat naik ke langit bagi menerima
Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain.
Keistimewaan solat
menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima
cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri.
Cetusan berkenaan
timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai
solat dari segi saintifik.
Kajian solat yang
dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti
Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr.
Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok
menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurut Dr. Fatimah,
kajian yang dijalankan masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji
kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh serta kandungan kolestrol dalam
badan.
Sistem jantung dan
kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan
manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga
batin.
"Komposisi tubuh
badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan
ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah.
"Pengukuran
parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan
kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai
komposisi badan.
Kajian komposisi badan
terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap
komposisi badan.
Dr. Fatimah berkata,
pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud
secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.
"Kami menjalankan
kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47
orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya.
Pengukuran analisis
bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan)
diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah.
Bagaimanapun lima
tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna,
tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian,
kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud,
duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.
Dr. Fatimah berkata,
keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai
tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya
dengan sempurna.
Kajian berkenaan kata
Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat
mengurangkan lemak dalam badan.
"Apabila gumpalan
lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang,
melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya.
Tabiat mengamalkan
kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses
penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan
melancarkan fungsi buah pinggang.
Manakala sistem
jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi
oleh kekenyalan arteri.
Jika kekenyalan arteri
terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit
arterioskerosis koronari.
Pengekalan kekenyalan
arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.
Ibadat solat, kata Dr.
Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan
anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat.
"Kajian
menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan
keadaan rehat kepada jantung.
Sujud
"Malah kita
digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan
kadar denyutan jantung paling rendah," katanya.
Ng Siew Chok yang
menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia
menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik.
Gelombang otak yang
dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma.
Kajian akan dilakukan
ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi
seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat.
"Solat jelas secara
umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa
serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi.
"Semasa solat,
berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan
seseorang berada dalam ketenangan," katanya.
Dalam kajian ini
isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua
kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan
kesan solat kepada isyarat otak.
Hasilnya, kata Siew
Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia
dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan
emosi seseorang.
Kajian juga
menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan.
Maka solat dapat menyediakan
otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar.
"Dan biasanya
selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk
bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya.
Pergerakan solat
meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh
otot tubuh badan.
Pergerakan otot-otot
secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian
yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.
Pergerakan Relatif
Ibadah solat kata
Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain
postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut,
santai atau mengembang.
"Selain ibadah,
solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan
pergerakan badan seperti berdiri, tunduk, duduk dan sujud.
"Sakit pinggang
merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang
bekerja," katanya yang menjalankan kajian otot dalam solat.
Terapi senaman melalui
pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan,
mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang.
Dr. Fatimah berkata,
pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan
senaman stabilisasi dan regangan belakang.
"Pergerakan rukuk
hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu
regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang
kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit
pinggang.
Kajian yang dijalankan
merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan
dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina
terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang.
Justeru, jelas beliau
pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat
sakit pinggang.
Selain itu, pergerakan
fizikal atau senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem
andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki.
Solat fardu yang
dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai
pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas
sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.
Kajian yang dijalankan
menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen
membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah
disfungsi ereksi atau mati pucuk.
"Bagaimanapun
banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut
mengenai solat," katanya