NOTA MUDAH MEMAHAMI HUKUM HUDUD
Sumber daripada
Muqaddimah.
1.
Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas
penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan
jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim. Justeru
sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya, kita tidak
mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah ditetapkan
oleh Allah swt.
Ingatlah
penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke 36:
"dan tidaklah layak bagi orang yang
beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt
dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain
dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang
mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu
kesesatan yang nyata."
2.
Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah
ditetapkan secara tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan
dibekukan, tetapi ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan
ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan
ummah dari Tuhan pencipta manusia. Lihat ketetapan Allah swt di dalam surah al
Maaidah, ayat 49:
"dan hendaklah engkau menjalankan
hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan
janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah
supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan
oleh Allah swt kepada kamu."
3.
Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh
dipinda atau diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang
memiliki authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun.
Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.
"demikianlah batasan hukum Allah swt
maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah
swt maka mereka adalah orang - orang yg zalim"
4.
Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada
prinsip keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas
muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti
mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak
sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya adalah perbuatan yang
boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah memperkecil dan mendustakan
Allah swt. Allah tegaskan akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat
56.
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur
ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api
neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit
yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Insafi juga
penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.
"Sesungguhnya orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat (perintah dan ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa
dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi
mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta
masuk di dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang
melakukan jenayah."
5.
Hudud memberi keadilan dan mengembalikan
kehidupan yang sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum
Hudud ini kecuali satu golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum Hudud
adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit kes. Non muslim
juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa
untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud
bahkan mereka kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada. Firman Allah swt. di
dalam surah al Maaidah ayat 42 :
"Mereka sangat suka mendengar
berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan
sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara
mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari
mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara
mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil."
Wajib Melaksanakan Hukum Hudud
6.
Para alim ulama' telah memudahkan kita dengan
menggariskan kategori ilmu dan syariat Islam seperti Ibadah, Muamalat,
Munakahat dan Jinayat. Hudud adalah sebahagian dari undang - undang Jenayah
Islam. [Bahagian yang lain ialah Qisas dan Ta'zir. Insyaallah bahagian Qisas
dan Ta'zir akan saya jelaskan di lain kesempatan.] Lantaran itu ia adalah
sebahagian dari kesempurnaan Islam yang selayaknya dipelajari, difahami,
dilaksana dan dihayati.
7.
Inilah keistemewaan Islam sebagai agama yang
syumul dan lengkap, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah soal
perundangan. Ianya wajib dilaksana sebagaimana kita wajib menunaikan solat,
puasa dan ibadah yang lain. Firman Allah dari surah an Nisa' ayat 105
menjelaskan kewajipan ini .
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu
(wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau
menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu
(melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang
khianat"
8.
Kewajipan melaksanakan hukum Hudud ini adalah
berpaksi kepada prinsip perundangan Islam untuk memelihara :
a] Agama :
melalui undang - undang murtad
b] Nyawa :
melalui undang - undang qisas
c] Aqal :
melalui undang - undang arak dan minuman yang memabukan
d] Keturunan :
melalui undang - undang zina
e] Harta benda
: melalui undang - undang curi dan rompak.
[semua jenis undang - undang ini akan diperincikan kemudian]
9.
Hari ini ummat Islam berhadapan dengan
peningkatan serius indeks kadar jenayah. Bermula dengan jenayah riddah
[murtad], jenayah bunuh, jenayah zina, jenayah rompak samun dan sebagainya.
Tiada siapa yang dapat nafikan betapa graf kadar semua jenis jenayah ini
semakin meningkat dari masa ke semasa dan ia gagal ditangani oleh undang -
undang yang dicipta oleh manusia. Persoalannya, kenapa tidak, kita melaksanakan
undang - undang Islam yang diwahyukan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta
manusia ? sedang pastinya undang- undang Allah swt lebih berkesan untuk
menyelesaikan masaalah manusia sebagai makhluk yang diciptaNya.
10.
Ummat Islam dan pemimpinnya mesti mencari 1000
jalan untuk membolehkan syariat Islam ini didaulatkan di atas negara kita yang
majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Bukan mencari 1000 alasan atau
dalih untuk mengelak diri dari melaksanakan perintah Allah swt. Jika British
Law boleh dilaksanakan sekian lama dalam negara kita sedang hampir tiada
penduduk tetap negara kita berbangsa British, kenapa masih ada sebahagian dari
kita yang begitu prejudis terhadap perlaksanaan hukum Islam [hudud] sementara
majoriti penduduk negara kita ialah mislim. Hayati Firman Allah swt dari surah
at Taubah ayat 63 :
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa
sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan
yang demikian adalah kehinaan yang besar"
Hukum Hudud di dalam Al Quran dan As Sunnah
11.
Sebelum saya belayar jauh untuk menjawab
pelbagai persoalan yang timbul di benak pemikiran masyarakat mengenai hukum
hudud, eloklah sementara saya masih di dermaga perbincangan terlebih dahulu
saya paparkan bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah didraf, digazet dan
dilaksanakan lebih 1400 tahun yang lalu melalui dokumen induknya Al Quranul
Kareem dan As Sunnah an Nabawiyah.
12.
Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk
dengan 6 atau 7 jenis kesalahan dan jenayah. [saya ringkaskan dari Kitab Mugni
al Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm. dan Kitab
Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin Hj Ibrahim
mantan Mufti Negeri Sabah rhm.]
a] Zina : iaitu persetubuhan tanpa nikah
yang sah menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat
sebanyak 100 kali. Draf undang - undang mengenainya telah termaktub di dalam
surah an Nuur ayat 2 :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang
berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali
sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap
keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada
Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan
kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."
b] Qazaf : Tuduhan zina ke atas orang yang
baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dalam masa yang sama gagal membawa
4 orang saksi lelaki yang adil. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat
sebanyak 80 kali sebatan. Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat 4 :
"Dan orang-orang yang melemparkan
tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka
tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali
sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana
mereka adalah orang-orang yang fasik"
c] Syarbul Khamr : Minum arak atau minuman
yang memabukkan. Samada ianya dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak demikian
juga mabuk ataupun tidak. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat tidak lebih dari
80 kali dan tidak kurang dari 40 kali. Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis
Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah
:
"Rasulullah saw telah menyebat orang
yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat
sebanyak 40 kali sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak
80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang lebih
aku sukai."
d] Mencuri : Mengambil atau memindah
secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan
tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya.
Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut. Nasnya di
dalam surah al Maaidah ayat 38 :
"Dan orang lelaki yang mencuri dan
orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai
satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem
cegah dan kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana."
e] Murtad : Keluar dari agama Islam atau
membatalkan aqidahnya dengan perbuatan, perkataan atau iktiqad [keyakinan].
Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada Islam dalam tempoh
yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis Rasulullah saw yang
diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha.
"Sesiapa yang menukar / meninggalkan
agamanya maka bunuhlah ia."
f] Hirabah : Merompak samada secara
individu atau secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta
atau membunuh atau menakut - nakutkan atau mengugut dengan kekerasan.
Hukumannya apabila sabit kes adalah seperti berikut :
€: Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang
yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.
€: Hukaman mati di kayu palang apabila perompak
telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.
€: Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila
perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan
mencederakan orang yang dirompaknya.
€: Hukuman buang negeri apabila perompak hanya
menakut - nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.
Bentuk hukuman
ini telah dimuktamadkan oleh Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 33 – 34 :
"Hanyasanya balasan orang-orang yang
memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi
ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak
merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong
tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang
negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian
itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka
beroleh azab seksa yang amat besar."
"Kecuali orang-orang yang bertaubat
sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka
ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
g] Bughah : segolongan ummat Islam yang
melawan dan menderhaka kepada pemerintah [imam / ulil amri] yang adil dan
menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al
Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran Islam [murtad]
tetapi mereka diperangi dengan kaedah dan syarat tertentu. Firman Allah swt di
dalam surah al Hujurat ayat 9 :
"Dan jika dua puak dari orang-orang
yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya
berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia
kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di
antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu
(dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil."
Nota :
Sebahagian ulama' tidak memasukkan hukum Bughah di dalam kategori hukuman Hudud
kerana mempunyai perbahasan dan pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak
ditetapkan secara terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang
dikenakan ke atas bughah.
13.
Ringkasan 6 jenis jenayah hukuman Hudud tambah
satu dari jenayah bughah yang telah saya paparkan di atas adalah bersifat umum
untuk memudahkan pembaca memahami terlebih dahulu skop jenayah yang disabitkan
dibawah hukuman Hudud ini tanpa saya menafikan masih banyak ulasan tambahan,
perbahasan dan khilaf berkait dengan kaedah penghukuman dan sebagainya.
14.
Sebagai peringatan awal kepada pembaca, saya
hanya membawa bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah dijelaskan oleh al Quran
dan Sunnah. Di sana masih terdapat perbahasan penting oleh para alim ulama'
bersumberkan dari nas tersebut yang perlu diketahui oleh kita iaitu bagaimana
proses menyabitkan kes seperti pembuktian, pembicaraan, syarat sabit kes dan
seumpamanya. Begitu juga kaedah perlaksanaan hukuman apabila ia telah
disabitkan. Pendek kata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan
difahami mengenai hukum Hudud ini.
Benarkah hukuman Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana masih ramai
ummat Islam yang tidak memahami hukuman tersebut ?
15.
Saya juga sarankan kepada semua pembaca bagi
mendalami soal hukum Hudud ini dengan mengambil langkah pro aktif
mempelajarinya secara langsung justeru ia adalah sebahagian dari ilmu Islam
wajib dipelajari oleh ummat Islam. Zaman moden ini terlalu banyak kaedah dan
kemudahan untuk mempelajari ilmu Islam ini. Terpulang kepada kesungguhan kita.
16.
Masjid dan surau juga boleh mengambil langkah
yang sama untuk membuka kelas pengajian berkait Perlaksanaan Hukuman Hudud secara
bersiri menggantikan kuliah maghrib yang kadangkala hanya bersifat tazkirah
biasa atau pengajian yang telah berulang kali dipelajari seperti bab bersuci,
haid, nifas, solat dan haji tanpa saya menafikan pengajian itu juga penting
untuk diulangkaji.
17.
Saya tegas menasihati mereka yang tidak
mengetahui dan mendalami pengetahuannya mengenai hukum Hudud ini agar tidak
membuat ulasan dan kenyataan berasas fikiran sendiri apalagi menafsir hukum
Hudud secara bukan - bukan dan jauh tersasar dari konteks hukum Hudud yang
sebenar. Kelak ia akan memudaratkan diri kita sendiri apabila berdepan dengan
kemurkaan Allah swt ekoran pandangan dan ulasan yang bertentangan dengan
kehendakNya.
18.
Jahil mengenai hukum Hudud tidak boleh menjadi
hujjah bahawa hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan sebagaimana jahil mengenai
solat tidak boleh menjadi hujjah solat tidak boleh ditunaikan. Ini kerana hukum
Hudud samalah seperti kewajipan Islam yang lain justeru ianya telah dinaskan di
dalam al Quran dan Sunnah sementara hukum Hudud juga telah digazet dan
dilaksanakan oleh Rasulullah saw sejak hari pertama Baginda saw memerintah bumi
Madinah al Munawwarah.
19.
Malah perlaksanaan undang - undang negara hari
ini yang merupakan fotostat dari undang - undang penjajah telah dilaksanakan
dalam negara kita sejak mula negara merdeka tahun 1957 yang lalu, tanpa perlu
pun menunggu rakyat memahami undang - undang tersebut. Bahkan mengikut kaedah
perundangan, sesuatu undang - undang itu tidak terbatal hanya kerana pesalahnya
tidak mengetahui undang - undang tersebut atau dalam erti kata lain, pesalah
itu tidak mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu kesalahan di
sisi undang - undang sekalipun, ia tetap tertakluk kepada undang - undang
tersebut.
20.
Apatah lagi undang - undang Islam yang telah siap
drafnya melalui al Quran dan Sunnah secara muktamad untuk diguna pakai
sepanjang zaman, malah telah digazet dan dilaksana sejak mula Islam memerintah
di bumi Madinah al Munawwarah lebih 1400 tahun yang lalu. Pula terlalu banyak
kitab dan buku yang dikarang oleh para sarjana Islam bagi membantu ummat Islam
memahami undang - undang Islam ini di sepanjang zaman. Kalau kita tidak
mengetahuinya, maka ia bukan salah undang - undang tersebut tetapi kecuaian
kita kerana gagal mempelajari dan memahami undang - undang tersebut.
21.
Alasan kononnya ramai ummat Islam tidak memahami
hukum Hudud maka ianya tidak sesuai dilaksanakan pada hari ini adalah helah
bermadah yang cukup strategik untuk tidak melaksanakan perintah Allah swt.
Ajaibnya, ramai ummat Islam tidak memahami undang - undang British yang
diamalkan dalam negara kita hari ini, tetapi sesuai pula dilaksanakan ?
seperkara lagi , masih adakah ummat Islam hari ini yang tidak tahu zina itu
salah, mencuri itu salah, membunuh orang itu salah, minum arak itu salah ? atau
ia adalah bertolak dari kedegilan untuk patuh pada perintah Allah swt ?
Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman hudud
akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan ketakutan.
Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden ini ?
22.
Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa
hukum Hudud ialah hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala
kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku secara
secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil ciptaan Allah Tuhan
yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari ini, tiada siapa yang berani
menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta manusia samada manusia itu berkulit
putih atau berkulit hitam. Samada manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab
seperti Melayu, Cina dan India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah
dinafi oleh sesiapa di dalam surah al Hujurat ayat 13 :
"Maksudnya : Wahai manusia,
sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan
kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal
- mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah
ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya."
23.
Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya
tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima
hukum yang juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan manusia [makhluk
yang diciptaNya] di atas muka bumi. Siapa lagi yang lebih mengetahui tentang
selok belok kehidupan manusia secara zahir dan batinnya jika tidak penciptanya
sendiri iaitu Allah Jalla wa A'la. Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini,
tiada siapa yang mampu menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang
termaktub di dalam surah al Baqarah ayat 138 :
"(Katakanlah wahai orang-orang yang
beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan
Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah
yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat"."
24.
Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini
ialah seperti Syarikat Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama
Inspira. Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual operasi yang
akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan Inspira
berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar justeru
syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara dan kaedah menjaga dan
mengguna produk mereka dengan baik dan meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna
Inspira tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat
Mitsubishi untuk produk mereka yang berjenama Pajero 4x4.
25.
Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan
Allah swt. Allah swt telah mengeluarkan buku manual iaitu al Quranul Kareem yang
disertakan dengan hasil produknya demi memastikan kehidupan manusia di dunia
ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar
cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah swt lalu menyelamatkan
mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaithan yang dilaknat oleh
Allah swt.
26.
Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini dari
Allah swt., bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini akan
mencetuskan huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana perlaksanaan hukum
Allah swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum tersebut. Mudah difahami
apabila kita melihat realiti masyarakat kita hari ini. Huru - hara yang
dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum Allah belum dilaksanakan dalam
negara kita .
27.
27. Ayah rogol anak, cucu perkosa nenek, anak
menengking ibu yang sedang solat, gengster [along] berleluasa, jenayah bunuh
berlaku setiap hari, penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri
derhaka kepada suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat, yang
kaya menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan bebas,
pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam negara kita.
Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa salahkan hukum Hudud
sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?
28.
Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah
inilah yang akan mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum
Allah swt tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga
merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah diserlahkan
melalui firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 38 :
"Dan orang lelaki yang mencuri dan
orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai
satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu
sistem cegah kawal dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana."
29.
Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada
hukum Hudud kecuali penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah
syariat Islam. Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah
sabit kes. Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap hukuman
Hudud kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan dijatuhkan ke atas
mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata lain, tidak melakukan perbuatan
jenayah seperti bunuh, mencuri, zina, menuduh orang lain yang baik berzina
tanpa saksi, merompak dan minum arak. "Berani kerana benar dan takut
kerana salah" adalah bidalan para bijak pandai yang masih terpakai hingga
ke hari ini.
30.
Non muslim juga tidak perlu takut terhadap
perlaksanaan hukum Hudud justeru Hudud adalah hukum yang wajib terpakai ke atas
ummat Islam sahaja sementara non muslim diberi peluang memilih. Jika mereka
bersedia dengan rela mahu menerima pakai hukum Allah , maka dibenarkan
sementara mereka enggan maka dipulangkan mereka kepada hukum agama mereka jika
agama mereka menyediakan bentuk hukuman tertentu di atas kesalahan yang
dilakukan atau jika tiada, berlandaskan konteks negara kita, kembali kepada
undang - undang konvensional yang ada pada hari ini. Keputusan memberi hak
memilih kepada non muslim ini adalah dari ketetapan Allah swt yang tidak boleh
persoal oleh manusia. Firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 42 :
"Mereka sangat suka mendengar
berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan
sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara
mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari
mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil."
31.
Melalui perbahasan ayat ini di dalam kitab
Tafseer al Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti an Nakhaei,
asy Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim diberi hak memilih
samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul zimmah dijatuhkan hukuman
melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada hukum yang disediakan oleh agama
mereka.
32.
Sementara sebahagian ulama' seperti Mujahid dan
Ikrimah rhm menganggap ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat lalu mereka
menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua kepada hukum Allah swt ini.